Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga
serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Malaikat Jibril adalah malaikat yang membawa
wahyu daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Setiap pesanan dan berita yang
disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada baginda adalah semata-mata datangnya
daripada Allah SWT.
Nabi SAW
bersabda kepada Saidina Ali k.wj. yang bermaksud : "Wahai Ali !
Malaikat Jibril selalu mengharapkan tujuh hal dari keturunan anak Adam iaitu :
Pertama : Solat lima
kali dalam sehari semalam bersama imam (berjemaah)
Kedua : Berkumpul
bersama para ulama
Ketiga : Menjenguk
orang sakit.
Keempat : Menghantar
jenazah ketempat perkuburan
Kelima : Memberi minum
orang yang kehausan
Keenam : Mendamaikan
dua orang yang sedang berselisih
Ketujuh : Menghormati
tetangga (jiran) dan anak yatim
Maka berusahalah untuk
melakukan ketujuh hal tersebut."
Huraiannya :
Pertama : Solat lima kali dalam sehari semalam bersama imam
(berjemaah)
Keutamaan solat jemaah tidak perlu diperjelaskan
lagi, kerana ketetapan syariat dan sabda Rasulullah SAW tentang 27 kali ganda
pahala solat sendirian sudah cukup untuk menggambarkan betapa tingginya darjat
solat jemaah itu.
Imam Syafie berpendapat, solat jemaah adalah
Fardu Kifayah (sekurang2nya ada satu kumpulan yang buat jemaah dalam sesuatu
kawasan) manakala ada ulama berpendapat ia adalah sunat muakkad (sunat yang
dituntut).
Solat jemaah ni sebenarnya bukan sahaja untuk
mendapatkan 27 kali pahala itu atau menunaikan fardu kifayah/sunat muakkad,
tapi banyak hikmahnya, samada terang atau tidak. Yang paling nyata aktiviti
solat jemaah di masjid adalah satu cara untuk memupuk perpaduan ummah,
silaturrahim sesama muslim. Ini kerana kita bukan sahaja duduk sebelah
menyebelah dengan saudara-saudara kita, tapi juga selepas solat, aktiviti
bersalam-salaman adalah satu perkara yang membuka ukhwah.
Nabi SAW. mewasiati umatnya supaya tidak
meninggalkan solat berjemaah di masjid.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Sesiapa
yang berjalan untuk pergi mendirikan solat fardu berjemaah, maka ianya seperti
pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat
(iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam
Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )
Rasulullah SAW. juga menjelaskan bahawa jalan
menuju masjid dihampiri pahala dan kebaikan. Sabda Nabi SAW. yang bermaksud,
"Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah
menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan
kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)
Pada hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang
bermaksud, "Orang yang paling besar mendapatkan pahala solat adalah yang
paling jauh perjalanannya ke tempat berjemaah. Sedangkan orang yang
menunggu-nungu waktu solat berjemaah pahalanya lebih besar daripada orang yang
solat sendirian, setelah itu dia tidur."
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Solat
berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).
" (Hadis riwayat al-Bukhari dan Musliam)
Kedua : Berkumpul bersama para ulama
Berkumpul dan bertemu para alim ulama untuk
mendengar tazkirah, kuliah atau ceramah agama adalah salah satu tuntutan Islam.
Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya
supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu
kerana apabila Allah SWT menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang
soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila
berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita
disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita
diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah
kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh
dengan cara hidup mereka.
Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat
67 yang bermaksud : "Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya
menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertakwa".
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita
melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud maksudnya
: "Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang
itu memerhati siapakah yang dijadikan teman".
Nabi SAW bersabda kepada Saidina Ali k.wj. :
"Wahai Ali ! Apabila seorang mukmin yang lebih dari empat puluh hari tidak
berkumpul duduk dengan ulama maka hatinya menjadi keras dan berani mengerjakan
dosa-dosa besar. Kerana sesungguhnya ilmu itu penghidup hati".
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bersendirian
(berseorangan) itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk
sedangkan berteman dengan teman yang baik lebih baik berbanding bersendirian.
Berkata dengan perkataan yang baik itu lebih baik daripada diam sedangkan diam
lebih baik daripada berkata dengan perkataan buruk”.
(Hadis Riwayat
Al-Hakim, Abu Sheikh dan Al-‘Askari daripada Abu Zar r.a.)
Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim
dalam sahih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : "Aku mendengar
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : 'Sesungguhnya Allah tidak
menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik
ilmu itu dengan mematikan para ulama sehingga tiba suatu masa yang tiada
lagi ada ulama maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan
orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka
sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain."
Ketiga : Menjenguk orang sakit.
Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau
rumah termasuk antara kunjungan diwajibkan. Mereka yang menziarahi orang sakit
akan mendapat doa para malaikat dan pahala yang besar diberikan oleh Allah SWT.
Diriwayatkan Imam Ahmad: Saya mendengar
Rasulullah SAW. bersabda : "Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh
puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang.
Baginya pahala satu tahun di syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam
hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun
untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di syurga."
Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa
Rasulullah SAW. bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna
lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah,
ia akan dijauhkan daripada api neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif
bersamaan dengan satu tahun)."
Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah SAW.
bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit,
maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah
perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di syurga."
Mengunjungi muslim yang sedang sakit adalah suatu
kewajiban ke atas muslim lain. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu kaum kerabat
dan saudara maranya sendiri. Mengunjungi orang sakit termasuk salah satu
amal solih yang sangat afdhal. Rahmat Allah senantiasa menaungi diri pesakit
dan orang yang mengunjunginya.
Orang yang datang berkunjung sebaiknya mendoakan
untuk pesakit agar dia lekas sembuh dan menasihatinya supaya memperbanyak
taubat dan berpesan dengan pesan-pesan penting lainnya. Pengunjung
janganlah terlalu lama duduk dan berbual dengan pesakit kecuali dalam hal-hal
tertentu. Bawalah buah tangan untuk mengembirakan hati pesakit atau hadiah
untuk waris yang menjaga pesakit.
Keempat : Menghantar jenazah ketempat perkuburan.
Salah satu hak muslim kepada saudaranya yang
muslim adalah menghantar jenazahnya sehingga ketempat perkuburan.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa
yang mengikuti penyempurnaan jenazah hingga solat jenazah maka dia akan
memperolihi ganjaran satu qirath, dan barangsiapa yang mengikutinya hingga
dikebumikan maka dia akan memperolihi ganjaran dua qirath. Mengikuti jenazah
adalah hak Allah, hak jenazah dan hak kaum kerabatnya yang masih hidup."
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda
maksudnya : “Suatu ketika kami semua berada di Baqi’ Al-Gharqad untuk
menghantar jenazah seseorang. Pada saat itu Nabi SAW mendatangi tempat kami,
lalu baginda duduk dan kami semua pun duduk mengelilinginya dan bersama baginda
ada sebatang tongkat.”
(Hadis riwayat
Bukhari)
Kelima : Memberi minum orang yang kehausan.
Memberi minum kepada orang yang kehausan adalah
satu amalan yang mulia disisi Allah SWT. Terdapat satu kisah dizaman umat
terdahulu seorang lelaki yang memberi minum air kepada seekor anjing yang
kehausan telah mendapat keampunan daripada Allah SWT terhadap dosa-dosanya.
Daripada
Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Ketika
seorang lelaki sedang dalam perjalanan, ia berasa dahaga. Lantas ia masuk ke
dalam sebuah telaga yang dalam, lalu minum air di dalamnya. Setelah dia keluar
di dapatinya seekor anjing di tepi telaga sedang menjelirkan lidahnya dan
menjilat-jilat tanah lembap kerana kehausan. Orang itu berkata : 'Anjing ini
merasakan apa yang baru sahaja saya rasakan.'
Kemudian
ia kembali turun ke dasar telaga semula untuk mengambil air. Dia telah mengisi
kasutnya dengan air lalu membawanya naik dengan mengigit kasutnya itu.
Sesampainya di atas ia memberi minum anjing tersebut. Kerana perbuatannya itu
Allah s.w.t. berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."
Para
sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah jika kami mengasihi binatang,
kami juga mendapat pahala?"
Baginda
SAW. bersabda yang bermaksud :
"Berbuat
baik kepada setiap makhluk pasti mendapat pahala."
(Hadis Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Jika seseorang itu membantu seekor anjing yang
kehausan mendapat pahala dan keampunan daripada Allah SWT maka lebih-lebih lagi
apabila kita membantu saudara kita yang sedang susah dan perlukan bantuan maka
lebih-lebih lagi besar pahalanya.
Daripada
Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang
melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan
dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat.
Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia
dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup
keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi
hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat
Muslim).
Keenam : Mendamaikan dua orang yang sedang berselisih.
Di dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan
orang-orang beriman supaya mendamaikan dua orang saudara yang berselisih faham
atau berlaku pergaduhan di antara mereka.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan jika dua puak
dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya;
jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang
zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh
maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta
berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujuraat ayat 9)
Ayat ke-9 ini menekankan prinsip mendamaikan dua
golongan muslim yang bergaduh atau berperang. Firman-Nya lagi yang bermaksud :
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di
antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah
supaya kamu beroleh rahmat..” (Surah al-Hujuraat ayat 10)
Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk
memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah SAW bersabda:
“Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik,
walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim).
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam
tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW
membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi iaitu ketika perang, untuk
mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara
suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri
ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan.
Ketujuh : Menghormati tetangga (jiran) dan anak yatim.
1.
Menghormati tetangga (jiran) :
Rasulullah SAW. juga sering memperingatkan kita
dalam beberapa hadisnya supaya kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran
dan sentiasa berbakti serta memuliakan mereka. Hubungan akrab di antara jiran
sesama jiran sangat diutamakan di dalam ajaran Islam. Antara pesanan Nabi SAW
yang bermaksud : "Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga
aku menyangka bahawa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk diwarisi (
mendapatkan harta pusaka).”
Jangan menyakiti jiran kerana perbuatan itu
menjejaskan keimanan kita. Sehubungan dengan itu Rasulullah SAW. pernah
bersabda maksudnya :“ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi
Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya
Rasulullah?. Rasulullah SAW menjawab : 'Orang yang menyebabkan jirannya tidak
merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya '.”
(Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Dalam hadis yang lain
dinyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :“ Tidak masuk syurga
barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran
kejahatannya.” (Riwayat Muslim)
2.
Menghormati dan memuliakan anak yatim :
Islam telah mendorong pemeluknya agar memiliki
akhlak mulia. Salah satu akhlak mulia itu adalah menghormati, memuliakan,
menyayangi dan berlemah lembut dengan anak yatim. Sesungguhnya, anak
yatim adalah manusia yang paling memerlukan pertolongan dan kasih sayang.
Kerana ia adalah anak yang kehilangan ayahnya pada saat ia sangat
memerlukannya. Ia memerlukan pertolongan dan kasih sayang kita, kerana ia tidak
mungkin mendapatkan kasih sayang ayahnya yang telah tiada.
Jika kita melihat seseorang yang penyayangi dan
berlemah lembut kepada anak yatim dan memberi pertolongan kepadanya, maka
ketahuilah bahwa ia adalah seorang yang berbudi dan berakhlak mulia.
Suatu ketika Saib bin Abdullah r.a datang kepada
Nabi SAW maka baginda bersabda kepadanya yang bermaksud : “Wahai Saib,
perhatikanlah akhlak yang biasa kamu lakukan ketika kamu masih dalam
kejahiliaan, laksanakan pula ia dalam masa keIslaman. Jamulah tetamu,
muliakanlah anak yatim, dan berbuat baiklah kepada jiran tetangga.” (Hadis
Riwayat Ahmad dan Abu Dawud, Shohih Abu Dawud, Al-Albani )
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Aku dan
orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di syurga seperti ini”,
Kemudian baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah
seraya sedikit merenggangkannya.
(Hadis Riwayat
Bukhari)
Imam Ibnu Bathal rahimahullah berkata : “Orang
yang mendengar hadis ini wajib melaksanakannya, agar ia boleh menjadi sahabat
Nabi SAW di syurga."
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita laksanakan 7 pesanan
Jibril a.s kepada Rasulullah SAW untuk kita hayati dalam kehidupan kita.
Sesungguhnya semua saranan Jibril adalah arahan daripada Allah SWT. Apabila
kita mempu menghayati dan melaksanakan ketujuh-tujuh perkara tersebut kita akan
menjadi mukmin yang dikasihi oleh Allah SWT .