Friday, August 6, 2010

[ air darah yang busuk ]


Pagi-pagi lagi Hj. Mat Kadri sudah keluar dari rumah. Pesan Imam lepas solat subuh tadi perlu dilaksanakan segera. Ini kes kecemasan. Lubang kubur perlu digali segera. Mayat akan tiba untuk dikebumikan seawal jam 9.30 pagi ini. Bermakna masa makin suntuk. Arahan itu diterima oleh imam tengah malam semalam. Waris arwah minta disegerakan upacara pengebumian. Mayat ini mayat lelaki. Lelaki yang terhormat lagi kaya dalam qariyah.

Ikut kiraan masa, tempoh 2 jam selalunya lubang kubur mampu disempurnakan. Tok siak Mail sudah siap menunggu Hj.Kadri di tepi masjid. Tanpa banyak bicara, kedua-dua siak masjid yang juga tugas mereka mengali kubur ber'segera' ke kuburan. Masing-masing mengusung cangkul dan alatan lain. Baldi juga turut dibawa.

Hampir semalaman hujan turun dengan lebat bersama petir dan guntur. Apa yang terkandung didalam kotak fikiran Hj. Kadri benar belaka. Kawasan kuburan digenangi air. Ketika melangkah, benaknya banyak kali berkata, bila banjir begini, masalah pasti timbul ketika kerja-kerja korek kubur. Tak ubah seperti membajak sawah. Rumit dan menyulitkan. Demi tugas dan kewajipan mayat perlu dikuburkan segera, susah dan payah itu ditelan bulat didada. Apa pun kerja mengorek kuburan ini mesti disiapkan tanpa perlu mencari alasan.

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Kerja-kerja mengorek kubur untuk arwah Ladim(nama sebenar dirahsiakan) mula dijalankan. Setelah siap tali ukuran dibidai, dan diikat, cangkulan demi cangkulan tanah mula diratah. Memang sungguh sukar mencangkul ketika kawasan sekeliling berair. Apa tidaknya, bila tanah berlubang, air sekitarnya akan berpusat ke situ. Kedua-dua tubuh siak, basah dan melecah.

Pak Mail yang sejak dari tadi tidak letih-letih menyediakan ban disekeliling lubang kubur agar lubang itu tidak terus berterusan dimasuki air. Tanah yang dicungkil dan dicangkul itulah yang dibuat batas 'ban' menghalang air dipermukaan. Nampaknya usaha Pak Mail berhasil. Namun hampir setengah jam juga usaha mereka terbantut kerana terpaksa menimba keluar air dari lubang kubur menggunakan baldi. Oleh kerana tanah kubur ini tanah liat, maka air dapat disekat.

Kerja-kerja mengali diteruskan semula. Akhirnya kurang lebih jam 9 pagi, lubang kubur siap digali. Pak Mail dan Hj. Kadri naik keatas semula. Lubang kubur yang sudah siap kini sempurna untuk menerima tetamunya.

Dalam tempoh Pak Mail dan Hj. Kadri merehatkan badan ditepi masjid menanti jenazah untuk diuruskan, Imam Hamzah tiba-tiba menepuk bahu mereka berdua sambil memberitahu bahawa jenazah didalam perjalanan kemari. Nampaknya jenazah Ladim tidak disolatkan dimasjid, ini kerana keadaan mayatnya yang uzur. Malah ketika solat jenazah dilakukan dirumahnya, jenazah itu masih diatas pangkin pemandian. Ada aib yang tidak tergambar untuk dituliskan di dada blog ini. Subhanallah...itulah jalan terkahir, ini kerana jenazah itu begitu sukar dimandikan. Lebih 2 jam urusan memandikannya terbuang begitu saja. Banyak yang tidak kena. Jika dikira waktu kematian Ladim tidak pun sampai 10 jam dari masa yg diambil untuk memandikan mayatnya. Tetapi ada aib kepada perutnya yang membuncit itu.

Jemputan solat jenazah juga sangat mengecewakan. Tak sampai 50 orang yang datang menyembahyangkan jenazahnya. Sedangkan arwah ini orang kaya. Dari situ sudah dapat dihidu ada yang banyak tidak kena dengan jenazah arwah Ladim. Penulis akan ceritakan kemudian.

9.35pagi
Jenazah kini sudah sampai di perkarangan masjid untuk dibawa ke perkuburan. Beberapa kereta mewah waris arwah mula memasuki parkir. Tidak ramai jamaah qariyah yang datang menghantar arwah. Yang ramai hanya waris-warisnya sahaja. Sedih melihat gelagat waris dan anak cucunya. Kebanyakan mereka hanya duduk dikawasan masjid, tak sanggup mungkin mereka mahu meredah kawasan kubur yang digenangi air. Atau mereka bimbang pakaian mahal mereka terpalit lumpur kubor?

Pak Mail segera mendapatkan Hj. Kadri. Ini kerana lubang kubor kini telah dipenuhi air. Mahu tidak mahu air terpaksa dikeluarkan dahulu agar jenazah dapat dimasukkan ke liang lahat dengan sempurna. Kini jenazah Ladim terpaksa diletakkan di bawah balai sementara menanti air dari lubang kubur dikeluarkan.

Tak masuk akal langsung, tak sampai setengah jam, lepas lubang kubur dikorek, boleh dipenuhi air sampai ke permukaan. Sedangkan sekeliling lubang kubur itu dibatasi ban, malah tidak ada punca kebocoran pun dari batas yg mereka bina tadi.

Makin ditimba, semakin banyak air yang terbit membuak. Pak Mail semakin letih. Hj. Kadri juga dah mula mengah. Tak boleh jadi ini. Lain macam sajaaa..! Langsung tidak nampak susut air yang ditimba keluar. Imam Hamzah yang berada di masjid wajar diberitahu. Minta pendapatnya. Macamana untuk menangani masalah yang berlaku. Setelah dirunding, maka Imam Hamzah memutuskan tiada pilihan lain, kena tanam juga jenazah ini, walaupun apa juga keadaannya. Walaupun sudah hampir 1 jam lubang kubur di timba airnya , dan siak bergilir2 bekerja. Tetap hampa!

Generator terpaksa digunakan untuk mengepam air kali ini. Hanya itu jalan akhir. Setelah berusaha, 1 pam dapat diperolehi, alhamdulillah..setelah lebih 20 minit air dipam keluar, lubang kubur dapat juga dikeringkan airnya. Anehnya apabila jenazah diturunkan keliang lahat, air tiba2 membuak dari bawah keranda. Air apa pulak ni..? Hj. Kadri mula cuak. Makin ditekan keranda kebawah, makin bergolak pula keranda itu ditolak air. Imam Hamzah mohon agar segera dikambus jenazah ini. Oleh kerana waris-waris arwah ini tidak mahu turun ke kawasan kubur, maka mahu tidak mahu beberapa jemaah qariyah pula yang terpaksa berlumpur. Belum pun banyak tanah diturunkan, air yang membuak-buak tadi tiba-tiba bertukar pula kewarna merah. Tak ubah seperti darah. Subhanallah. Semua yang ada disitu terhenti seketika, terkejut dan mengejutkan. Aib apa pula ini ya Allah!

Semakin tidak sempurna urusan jenazah ini. Apa tidaknya air merah itu hadir dengan bau yang busuk pula.Subhanallah. Busuk sungguh. Urusan mengambus mayat ini terasa sungguh lama dan memenatkan. Jam ditangan pun sudah menunjukkan jam 11 pagi.

Akhirnya dapat juga jenazah di kubur ini disempurnakan(baca : sekadarnya). Imam Hamzah hanya membacakan doa sahaja tanpa sebarang talkin dibacakan seperti selalunya. Ini kerana masing2 sudah tidak tahan menghidu bau busuk yang keluar bersama air yang memerah seperti warna darah.

Dosa apa yang arwah Ladim ini telah lakukan sehingga terlalu banyak aib ditunjukkan kepada mereka yang hidup ketika urusan jenazahnya hanya akan diketahui pada sambungan kisah ini minggu hadapan. Tunggu dan sudah pasti mengemparkan pembaca.

(*) Kisah ini wajar dimuhasabahkan bersama, kerana setiap perbuatan buruk dan dosa besar itu dibimbangi Allah swt. akan tunjukkan secara 'cash' di akhir zaman ini. Walluaklam.

Kisah benar ini diperolehi daripada pengalaman seorang penggali kubur@siak di masjid jamek tempat penulis bermastautin sekarang.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates