Wednesday, December 9, 2009

Takziah

Seluruh AJK Jamek makmuriah mengucapkan TAKZIAH buat Ustaz Samsul Muhaimin sekeluarga. Semoga roh arwah ayahandanya bersama mereka yang beriman dan ditempatkan bersama golongan muttaqqin. Ustaz Abdullah Sani kembali ke RahmatulLah pagi tadi sekitar jam 8. InsyaAllah solah jenazah akan dilakukan di Jamek Makmuriah jam 4.30 petang.

Pra Tahfiz Jamek Makmuriah

Maklumat terkini yang baru diterima..peserta Kursus Pra Tahfiz kini berjumlah 218 orang dengan 8 orang tenaga pengajar. Sasaran awal menjangkakan seramai 160 orang namun alhamduliLLah minat penjaga juga anak-anak terhadap ilmu al Quran semakin menebal. Mudah-mudahan ianya berterusan sehingga ke hujungnya dan kursus ini berterusan hingga tahun-tahun akan datang.
Lawatan untuk peserta Pra Tahfiz Jamek Makmuriah akan diadakan pada 19 Disember 2009. Lokasi lawatan adalah Petrosains dan Zoo Negara Kuala Lumpur. Pihak penganjur menyediakan 2 buah bas untuk tujuan tersebut. Wassalam.

Tuesday, December 1, 2009

PRORGAM PRA TAHFIZ - SAMBUTAN LUAR BIASA

Peserta mendengar taklimat

Sempena cuti persekolahan akhir tahun 2009, Jawatankuasa Pemuda Masjid Makmuriah Sg Besar mengadakan Program Pra Tahfiz bermula pada 30 Nov 2009 sehingga 25 Dis 2009. Pendaftaran bermula pada jam 8.00 pagi semalam. Penyertaan dari kalangan anak-anak yang berumur 10 tahun sehingga 16 tahun.

Peserta lelaki menunggu giliran untuk dinilai

Peserta perempuan menunggu giliran juga

Pihak JawtanKuasa menjangkakan seramai 100 orang anak-anak akan menyertai proram ini, tetapi setelah pendaftaran ditutup pada jam 10.30 pagi seramai 186 anak-anak telah mendaftar menyertai program yang julung-julung kali diadakan. Sambutan luar jangkaan ini memberi petunujuk bahawa ibubapa begitu prihatin untuk menjadikan generasi muda celik Al quran dan pada masa yang sama memupuk anak-anak mendalami bacaan dan hafalan Al quran.

Peserta sedang dinilai tahap kelancaran bacaan al quran

Para ustaz dan ustazah sedang menilai bacaan peserta

Seramai 6 orang tenaga pengajar yang dipilih untuk mengedalikan progran pra tahfiz ini. Saya dimaklumkan kemungkinan tenaga pengajar akan ditambah kepada 9 orang kerana terlalu ramai anak-anak yang menyertai program ini. Tenaga pengajar ini adalah terdiri dari ustaz dan ustazah yang berpengalaman dan sebahagian besar adalah terdiri Hafiz dah Hafizah Al quran.

Sunday, November 29, 2009

Majlis Korban Sempena Eidul Adha

Lembu-lembu siap sedia untuk dikorbankan

Majlis korban sempena Eidul Adha Masjid Makmuriah Sungai Besar diadakan pada hari sabtu 27hb Nov 2009 iaitu sehari selepas sambutan Hari Raya Eidul Adha. Ini kerana hari raya pada tahun ini jatuh pada hari jumaat. Disebabkan kesuntuhan masa dimana masjid mengadakan solat sunat Eidul Adha pada jam 8.30 pagi dan diikuti solat fardu jumaat, maka majlis korban binatang di tangguhkan pada hari sabtu.

Petugas-petugas sedang mengheret lembu ke tempat penyembelihan

Pada tahun ini pihak masjid menerima sebanyak 10 ekor lembu untuk majlis korban. Lembu-lembu ini disumbangkan oleh ahli-ahli kariah masjid Makmuriah untuk dikorbankan sempena hari raya Eidul Adha mengikut bahagian masing-masing. Semua ahli kariah masjid makmuriah dijemput untuk hadir untuk menjayakan majlis ini.

Kerja-kerja melapah kulit lembu

Walaupun pada pagi hari sabtu tersebut hujan telah turun dengan lebatnya, tetapi tidak melemahkan semangat petugas-petugas untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh pihak masjid. Bermula dari menumbangkan lembu untuk disembelih, melapah kulit, memotong daging, menimbang, memotong tulang-tulang dan mengagihkan kepada seluruh ahli kariah masjid makmuriah berjalan dengan lancar sekali.

Kerja memotong daging dan menimbang untuk dibungkus

Ust Solihin menyembang je dan mengagihkan daging...

Saya bagi pihak masjid Makmuriah Sungai Besar mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli kariah masjid yang hadir untuk menjayakan majlis korban tersebut. Moga-moga amalan yang baik ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun yang akan datang.

wassalam.

Sunday, November 15, 2009

Program Pra Tahfiz Musim Cuti Sekolah




Program Pra-Tahfiz dan Kefahaman Islam
Sempena Cuti Sekolah
Masjid Jamek Makmuriah Sungai Besar

Tujuan :

Meningkatkan kesedaran dan penghayatan Al-Quran dan mendekatkan

remaja dengan pengajian Al-Quran di masjid.

Tarikh :
30 November 2009 (Isnin) hingga 25 Disember 2009 (Jumaat)

Tempoh :
20 hari (pelaksanaan hanya Isnin hingga Jumaat sahaja)

Umur penyertaan :
10 – 16 tahun (terbuka untuk lelaki dan perempuan)

Yuran :
RM 50 seorang

Tempat :
Masjid Jamek Makmuriah Sungai Besar

Bimbingan :
Al-Fadhil Ustaz Haji Samsul Muhaimin bin Hj Abdullah,
Imam Besar Masjid Jamek Makmuriah Sungai Besar

Pendaftaran :
30 November 2009 (Isnin) dari jam 8.00 pagi – 9.00 pagi
(Sesi temuduga untuk menentukan tahap peserta semasa pendaftaran)

Peserta yang berminat sila hubungi :
1. Ustaz Abdullah 017-3704125
2. En. Azhar 013-2397439
3. En. Mohd Nizam 013-3986398
4. En. Mansor 012-2851567

****Peserta yang berminat boleh meletakkan Borang Penyertaan ke dalam kotak yang disediakan di ruang masuk masjid tanpa menyertakan duit penyertaan. Duit penyertaan boleh diserahkan semasa hari pendaftaran.

Pelaksanaan Aktiviti :

8.00 – 10.00 Bacaan Asma’ul Husna, Tasmi’ Hafazan Surah-surah pilihan
(Aktiviti dalam kumpulan dan diasingkan lelaki dan perempuan)
10.00 – 10.30 Rehat/Jamuan
10.30 – 11.30 Kelas Taswid / Iqra’ / Ulum Al-Quran
11.30 – 12.30 Pengajian Ilmu-ilmu Islam / Fiqh Ibadah / Akhlaq
1.00 Solat Dzohor
1.30 Bersurai

*Aktiviti Qiamullail adalah diwajibkan kepada semua peserta pada 25/12/09 (Subuh Jumaat)
*Upacara penutup dan penyampaian sijil pada 25/12/2009 pagi.

Nota :

Al-Quran dan rehal hendaklah dibawa oleh peserta.
Pakaian hendaklah sentiasa menutup aurat.
Peserta perlu mendapatkan sarapan / minum pagi daripada rumah sebelum ke masjid.
Pihak urusetia program hanya menyediakan 1 kali jamuan sahaja sehari (makan berat) pada jam 10.00 pagi. Makan tengahari tidak disediakan.
Peserta yang menamatkan program dengan kehadiran 90% ke atas sahaja akan diberikan sijil penyertaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

TARIKH TUTUP PENYERTAAN : 27 NOVEMBER 2009 (JUMAAT)


Thursday, October 22, 2009

Jamuan Edul Fitr

Maaf sekali lagi ... kelewatan ana untuk update laman sesawang Jamek Makmuriah. Sibuk dengan urusan dunia yang sampai akhirnya tidak puas-puas. Maaf Zahir Batin.

Segak bersedia menyambut tetamu
Mudah-mudahan semua ahli jemaah sudah menyempurnakan ibadah puasa 6. Walaupun sekarang sudah menjelang Dzulkaedah..sekadar mengingati..Faa Zakkir Fainna Zikra Tanfaun Mu'minin..

Ok..bersama ni kami kembarkan gambar sempena Hari Terbuka Masjid..4 Oktober 2009 untuk tatapan pengunjung "jamekmakmuriah@blogspot.com.

Wednesday, September 23, 2009

SOLAT EID

Solat Eid Fitr di Jamek Makmuriah 1430h bersamaan Ahad 20 September 2009. Imam.. Ustaz Muhaimin (Imam Besar Jamek Makmuriah), Khatib..Ustaz Haji Mohd Anuar Abd Wahid dan Bilal..Hj Hussaini.
Sekitar Solat Eid Fitr Jamek Makmuriah

SALAM EIDUL FITR

Salam Eidul Fitr diucapkan untuk muslimin dan muslimat. Saya mewakili semua Jawatankuasa Jamek Makmuriah mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Fitr ..Minnal aaidin wal Faaizin ..TaqobbalalLahu minkum jamiian. Hanya foto-foto yang sempat saya serta ajk lain rakamkan untuk tatapan pembaca sekalian.Align Left


Saya susun mengikut tarikh agenda di sepanjang Ramadan. Mudah-mudahan ianya bermanfaat buat kita semua. Allahumma baariklana fi Ramadan wa balighna ila Ramadan.Sekali lagi Maaf Zahir & Batin dari JK Masjid Jamek Makmuriah.

Monday, September 14, 2009

TAZKIRAH RAMADAN ... Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

APAKAH DOA YANG PALING UTAMA DI BULAN RAMADAN?

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Kedatangan bulan Ramadhan walaupun menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda kepada orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang sebenarnya iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah swt khususnya dalam kontek kita berpuasa disebutkan sebagai “La‘al lakum tattaqun” maksudnya dengannya kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah swt. Menjadi suatu yang agak lumrah kepada insan, biasa disebut, di hafal dan diingati kalimah ini “La‘al lakum tattaqun”, tetapi pernahkah, sampaikah kita ke tahap “tattaqun” itu bila sampai Ramadan dan berakhir Ramadan?

Sampaikah kita kepada apa yang nabi sebut kepada isteri-isterinya dan kepada sahabat-sahabatnya iaitu “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, iaitu maksudnya “Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.

Tidak ada insan yang tidak berdosa melainkan nabi yang maksom. Kita lihat dizaman ini banyak perkara yang terpaksa kita telan dan kita tempuh. Akibatnya kita terpaksa menerima kemurkaan-kemurkaan Allah swt. kepada hamba-hambanya. Kita lihat dari bala bencana, musibah demi musibah, kita lihat dari berbagai-bagai kejadian yang tidak menyenangkan menunjukkan bahawa adanya kemurkaan Allah. Allah tidak akan murka melainkan kerana besarnya dosa manusia. Kerana itu datang ramadan, memanglah boleh menghairankan orang yang sempat hidup sampai Ramadan, apabila habis Ramadan dosa dia tidak terampun.

Sebab itu Siti Aisyah radiaAllahhu anha ingin sangat untuk bertemua peluang dengan malam Qadar (Lailatul Qadar), dia bertanya kepada nabi “Bilakah berlaku malam Qadar?”. Nabi bertanya kepada Aisyah semula “Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?”. Aisyah menjawab “Saya tak tahu” kemudian Aisyah bertanya lagi “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?”. Nabi berkata kepada Aisyah “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya”. Aisyah bertanya lagi “Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?” Nabi jawab “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah

“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa saya).

Sebenarnya Nabi dah tahu yang Aisyah itu akan masuk syurga ertinya dosanya telah diampunkan oleh Allah tetapi kenapa Nabi masih menyuruh Aisyah untuk memohon kepada Allah agar diampunkan dosa?. Sedangkan Aisyah memang layak untuk tidak dimasukkan ke dalam neraka, hanya layak ke syurga. Soal dosa dan pahala dia dah tak kisah sangat tapi nabi masih menyuruhnya berdoa supaya Allah ampunkan dosa.

Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagi tahu kepada nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan Tabiin (“Tabiin” maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”. Kalau orang yang lahir kedunia ini setelah nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan Sahabat ia dipanggil Tabiin).

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, “Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu”.

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah” iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.

Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu “Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”.

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, mintak sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa.

Siti Aisyah telah bertemu dengan malam Qadar, dia telah berdoa sepanjang malam sampai ke subuh dengan doa yang nabi ajarkan iaitu “Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa saya).

Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni.

Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu…..

Asal usul Uwais al-Qarni
Dia asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”. Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaiman pula dengan dosa kamu”. Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberkatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”

Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya. (Kalau bagi nabi, baginda ada Khatam Nubuwah iaitu tanda kenabian, tanda pada nabi bersinar) Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia mintak agar jangan dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi sebut kepada Umar dan Ali akan tanda ini. Tandanya kamu nampak dibelakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni.

Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh. Mengikut al-Quran, Nabi Isa Alaihisalam yang pernah berdoa untuk kesembuhan penyakit sopak dizamannya.

Berbalik kita kepada point asal, Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Doa yang paling utama di malam Qadar

Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, Memang hairan orang yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak diampun.

Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta hal-hal keduniaan. Kalau kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita mintak di malam Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya diampunkan segala dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua, kaya, mesti pilihan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan “Wallah yuridul akhirah”. Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat itulah yang paling mustahak sekali.

Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang telah kita buat? walaupun kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan.

Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya doa yang paling utama dan besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita.

Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan “Ghoforollah hu mat taqadaman”, Allah ta’ala ampunkan dosa dia yang telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang akan datang.

Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak kurang dari seratus kali iaitu “Astagh firruka humma waatubu ilaih”. Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-panjang sampai dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti Aisyah berkata kepada nabi, “Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki, sembahyang lama-lama, menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan kemudian?”. Nabi menjawab “Kalau demikian adanya mengapa aku tidak menjadi hamba yang bersyukur”.

Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya katakan tadi, datanglah sistem yang Islam kemukakan kepada ummah, seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-persiapan yang dikatakan “Wa tazau wadu” kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan diri, hati, akal dan budi daripada yang dipanggil “al-khush” (yang tidak baik).

Al-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan subur dia mudah menumbuhkan pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam tumbuhan) seperti tempat berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak jadi seperti tempat yang lain.

Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini kotor (benda yang jijik) maka tidak akan keluar melainkan yang kotor juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang baik, amal dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan dia dikatakan orang yang baik.

Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik juga. Sebab itu dari awal Islam datang dah ada sistem seperti contoh ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri peringatan kepada manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa insan) dan kepada Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain, agungkan Allah swt. sahaja.

Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu pakaian biasa, rumah tempat tinggal, kereta yang dinaiki dan apa sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini sangat kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai ialah pakaian putih yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam peperangan tetapi yang paling nabi sukai ialah warna putih.

Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah nampak lagi kain kafan warna hijau, kain kafan biru lagi tak pernah nampak). Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih sebagai alas tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada yang hijau.

Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu buang segala kekotoran. Islam mengajar agar diluar bersih sehingga kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada mula memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri.

Dengan puasa yang kita buat, malam kita bertarawih, berdoa secara bersistematik dari awal ramadan sampai akhir ramadan iaitu doa;

“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa saya).

Kalau dibuat setiap malam dari awal ramadan sampai akhir ramadan pastilah kita jumpa dengan satu malam yang mana malam ini ialah malam Qadar. Sebab dia pasti datang setiap tahun dibulan ramadan. Kalau kena malam itu maka sampailah tujuan tadi kita dapat memohon daripada Allah swt. minta yang paling berharga iaitu bermohon agar Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita. Kalau bertemu demikian kita sampailah kepada matlamat tadi iaitu “La’al lakum tat takun” dengannya kamu bertaqwa, dengannya kamu sampai kepada matlamat yang dikatakan tadi.

“Ya ‘ajaban”, memang menghairankan orang yang sempat datang Ramadan kepadanya dia tidak manfaatkan ramadan itu untuk Allah ampunkan semua dosa-dosanya.

Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi didunia, yang kita hadapi hari ini dalam semua masalah, pergaduhan, hutang yang banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji dengan orang, bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan dia habis bila dia mati.

Tetapi krisis dosa dengan Allah ta’ala khasnya krisis keimanan, krisis kerana kita menyimpan dosa yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia akan bermula apabila telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi masalah, sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik kepada dosa tadi.

Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita faham. Kita tidak disuruh minta dimalam Qadar supaya turun emas dari langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar dijadikan ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta. Sebaliknya nabi bagi contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir krisis dunia ini bila kamu mati.

Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah dari sejak nak mati sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat orang-orang yang “Zalimi an fusu hum” orang-orang yang menzalimi diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang malaikat kepada mereka dengan pemukul untuk pukul muka, belakang hingga ke punggung mereka. Ia bermula daripada nyawa nak keluar, tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan tidak barzakh, masuk kubur terseksa.

Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak pastikan kepada isteri dia Siti Aisyah pun berpesan “Kalau kamu dapat malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta supaya diampunkan Allah segala dosa”.

Ingatlah juga ketika nabi berpesan kepada orang yang dia sayangi iaitu Umar (bapa mertuanya) dan Ali (menantunya) kalau kamu berjumpa dengan Uwais al-Qarni mintalah supaya Allah ampunkan segala dosa kamu. Begitu juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon supaya Allah ampunkan segala dosa.

Thursday, September 10, 2009

Iktikaf di masjid 10 hari terakhir

Saya hendak tekan dunia ini bukan kita yang punya. Bumi, langit, udara, air hujan dan segalanya dicipta Allah Taala untuk manusia. Dan ia bukan terjadi sendiri. Kita tanpa mengira bangsa apa sekalipun hanya menumpang di atas bumi Allah.

Kalau semua kemudahan itu tidak ada maka mati semua manusia. Tidak ada satu pun syarikat yang boleh buat bumi, udara, gandum, beras dan segala kemudahan asas bagi keperluan manusia untuk hidup.

Hatta seekor anak bilis pun tidak ada kerajaan yang boleh buat. Dari segi sains pun kata begitu, lebih-lebih lagi al-Quran. Kita menumpang segala kemudahan itu dan bukan mendapat percuma. Segala itu akan dituntut bayaran. Tuntutan bukan bayaran dengan duit tetapi tuntutan takwa kepada Allah Taala.

Perkataan takwa mengandungi positif dan negatif. Kita kena buat apa Tuhan seuruh dan tinggal apa yang dilarang. Misalnya saya sebagai Menteri Besr kalau pergi ke rumah orang tidak boleh pandai-pandai naik ke atas rumahnya tanpa izin. Inilah kelemahan kita apabila sudah menjadi orang besar mahu berlagak seperti Tuhan.

Inilah kesilapan yang perlu kita renungi. Kewajipan kita sedar kerana menumpang di atas bumi Allah. Di akhirat kelak akan dihancur semua dunia ini dan diganti dengan amal akhirat.

Pembalasan di akhirat kelak sebagaimana disebut dalam al-Quran. Buku yang digunakan Tuhan bagi menjatuhkan hukuman ke atas manusia di akhirat kelak ialah Quran.

Ini perkara pokok yang perlu rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa memikirkan. Kita mesti mati dan selepas mati kita akan hidup balik. Dan selepas hidup balik kita akan dihakimi sebelum dijatuhkan hukuman syurga dan neraka.

Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadhan adalah ajaran agama, Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak.


Ini kerana nafsu kita bermuka dua, iaitu mendorong kepada kejahatan dan satu lagi kepada kebaikan. Dan melalui cara iktikaf di masjid kita dapat kawal dengan cara iktikaf di masjid.

Rasulullah s.a.w pada 10 hari terakhir Ramadhan iktikaf di masjid. Sebelum Rasulullah s.a.w menjadi nabi baginda bertapa di dalam Gua Hiraq.

Dan selepas baginda menjadi nabi sistem bertapa di dalam gua tidak lagi diamalkan dan Rasulullah s.a.w bertapa pula dalam masjid. Bertapa di dalam masjid lebih praktikal. Ini kerana kita didatangkan ke dunia ini bukan untuk kita seorang sebaliknya untuk kita dan masyarakat.

Kalau kita duduk di masjid kita boleh tegur orang dan orang juga boleh tegur kita tetapi kalau di dalam gua tidak ada orang yang hendak di tegur.

Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf.

Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala. Amalan tadarus dan tarawih tidak ada dalam agama lain. Nabi Muhammad s.a.w bertadarus dengan Malaikat Jibrail tiap-tiap tahun.

Oleh itu, saya menasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al-Quran yang digunakan iaitu di masjid, pejabat dan rumah...Muryidul Am PAS

Tuesday, September 8, 2009

Doa Selamat dari Wabak

Assalamualaikum...doa ini saya ambil dari blog Dato' Murtadza, Mufti Besar Negeri Sembilan. JazakalLah.

Monday, September 7, 2009

Panel Ramadhan 2

AlhamdulilLah..sepertimana yang dijanjikan forum Ramadhan yang diberi nama Penel Ramadhan terus melabuhkan bahtera ilmunya. Pada kali ini Panel Ramadhan membariskan panelnya yang terdiri dari Us Ismail Ibrahim yang tidak asing bagi warga makmuriah dan Us Ahmadi Abbas juga warga tempatan serta pengerusi untuk panel hari Sabtu lalu adalah Us Abd Razak dari Lembaga Zakat Selangor. Tidak perlu kita mengulas apa yang diperkatakan oleh kedua ahli panel tersebut..cukup kita mengatakan bahawa segala amal ibadat kita di dunia ini bermula dengan hati yang bersih. Bila hati bersih maka segala amal kita menjadi ... dan ianya dapat dilihat dengan pandangan kita serta perlakuan kita. Pepatah ada yang menyatakan jangan menilai seseorang melalui luaran namun hakikatnya luaran juga bermula dengan dalaman bermaksud dalaman (hati) yang suci akan menjelmakan keperibadian yang indah dan suci. Allahu taala a'lam.

Thursday, September 3, 2009

Tazkirah Ramadhan

Jamek Makmuriah..2 September.. AlhamdulilLah semakin makmur masjid kita. Semenjak Pakatan Rakyat mengemudi masjid pelbagai aktiviti silih berganti. Semoga semua yang dilaksanakan memperolehi keberkatan dan keredhoan Allah.
Solah Tarawikh malam tersebut
Tazkirah selepas solat Tarawikh kali ini menjemput yang berbahagia Dr Badrul Amin. Semua kita kenal siapa Dr Badrul Amin. AlhamdulilLah kehadiran seperti mana kita harapkan. Isi kandungan berkisar Ramadhan, bagaimana kita menjalani kehidupan sebagaimana yang dikehendaki Allah dan bagaimana kita mengurus kehidupan menurut panduan Ilahi agar kita tidak terpesong dari landasan.
Dr Badrul Amin Baharom
Hadith menyatakan berlaku akhir zaman ini manusia itu awal paginya muslim petangnya kafir, petangnya muslim paginya kafir.
Khusyuk mendengar tazkirah
Maka berfikir kita tentang segala amal kita seharian..percakapan kita, tingkahlaku kita dan segalanya. Jangan berlaku semberono. Letakkan Iman kita dahulu di hadapan sebelum kita melakukan sebarang amal bermaksud tapis segala amal kita dari segi tutur kata dan tingkahlaku dengan tapisan IMAN. Ramadhan Karim...Allahu Akram. Wassalam.

Aktiviti Masjid

Jamek Makmuriah...31 Ogos. Assalamualaikum...inilah masalahnya bila hanya seorang yang handle blog..lama kelamaan tiada ide yang mahu dikeluarkan. Jadi hanya gambar sahaja yang dapat blogger inputkan untuk tatapan semua.
Iftor bersama Pemuda DUN Sungai Besar
Mudah-mudahan menjadi renungan serta muhasabah untuk kita sepanjang Ramadhan dan apa yang lebih penting sepanjang kita melayari bahtera kehidupan. Hidup pun tak lama... semakin pendek hidup kita ni...Nabi SAW bersabda yang bermaksud umur umat ku di antara 60 ke 70. So kita fikirlah sendiri..saya baru 41, lama lagi ....untuk jadi 60 ler.
Penyampaian Sumbangan Mangsa Kebakaran malam 5 Ramadhan. Ujian dari Allah.
Oleh itu...beramal..beramal..amal kerana Allah.Wassalam.

Monday, August 31, 2009

Tazkirah Kemerdekaan

Jamek Makmuriah..31 Ogos 09..6.30 am. ..AlhamdulilLah, pihak masjid berjaya mengadakan Tazkirah Subuh sempena kemerdekaan Malaysia kali ke-52. Tazkirah bertajuk Kemerdekaan Menurut Kacamata Islam dan Menyorot Kembali Islam di Malaysia. Satu sejarah yang telah dipadam dari pengetahuan umat Malaysia oleh para orientalis barat untuk menidakkan bahawa Islam telah bertapak lama dan kukuh di Malaysia semenjak Kesultanan Melayu Melaka. Ketika itu Islam memang menjadi sumber rujukan dan ditempatkan di tempat yang tinggi. Namun ianya menjadi semakin terpencil oleh umat Islam sendiri yang buta atau membutakan sejarah Islam di Malaysia. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Sallehen Mukhyi. AlhamdulilLah kehadiran pada subuh hari ini agak membanggakan dengan 5 shaff. Mungkin lebih membanggakan kiranya segala amalan Islam tersebut terus diamalkan oleh semua umat Islam di Malaysia baik pengurusan tertinggi hingga individu bawahan. Namun apa yang malang hanya sebahagian umat Islam sahaja di Malaysia yang sedar dan ingin menjadikan Islam sebagai CARA HIDUP.
Masing-masing berbangga dengan amalan barat yang disangka ianya sebagai cara hidup yang diterima Islam. Itulah yang dikatakan ISLAM PLASTIK oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz. Bila ini diutarakan oleh Tuan Guru masing-masing yang terasa melenting tanpa recall diri (muhasabah diri). Hisab diri kamu sebelum kamu dihisab oleh mahkamah Allah. Allahu Taala A'lam.

Sunday, August 30, 2009

Panel Ramadhan

Jamek Makmuriah ....Sempena kehadiran Ramadhan tahun ini pihak masjid mengadakan forum setiap pagi Sabtu yang dinamakan sebagai Panel Ramadhan. Program dibawah kelolaan Ustaz Hanifuddin bermula pada pagi Sabtu yang lalu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ahli panel untuk forum Sabtu lalu adalah Ustaz Zainal Abidin Sulaiman dan Ustaz Baharuddin manakala moderator adalah Ustaz Hanifuddin sendiri.
Tajuk untuk Forum yang julung kalinya adalah Solah Berjemaah serta Kepentingannya Dalam Membina Jemaah. Syabas buat Biro Dakwah dan Kepimpinan di bawah Ustaz Hanifuddin. Moga semakin makmur masjid kita. Tanpa sokongan serta kehadiran semua musliman sekitar ianya menjadi sesuatu yang malang dalam agenda kita untuk membina masyarakat yang cintakan masjid serta dahagakan agama. Hebat dan lemahnya Islam adalah terletak pada penganut serta pendokongnya. Kalau umat Islam mensiakan peluang ini apatah lagi yang kita harapkan dari generasi kita mendatang.

Ahlan Ya Ramadhan

Jamek Makmuriah....Ahlan Ya Ramadhan. Begitulah sinonimnya ucapan yang kita sering ucapkan dengan kehadiran Ramadhan Karim setiap tahun. Tanpa aktiviti yang sepatutnya adalah satu yang amat mengecewakan bagi kita menyambut Ramadhan yang entah bila kita boleh ketemu lagi. Sehubungan dengan itu Jamek Makmuriah mengadakan Program Tadarrus al Quran sempena kehadiran Ramadhan Mubarak ini. Sambutan amat menggalakkan dari kalangan muda dan pra muda.
Progran yang disusun oleh Biro Pemuda masjid ini mendapat restu dari semua pihak malah ianya dialu-alukan untuk tahun-tahun mendatang. Pengerusinya sdra Nizam Idris melahirkan rasa bersyukur dengan sambutan yang ditunjukkan oleh penduduk setempat. Penyampaian sijil an saguhati peserta disampaikan oleh Ustaz Idris, Pagawai Tadbir Agama Daerah Sabak Bernam di akhir program tersebut yang memakan masa selama 4 hari. Mudah-mudahan mendapat kerahmatan dari Ilahi serta ganjaran dariNya. Amin..

Friday, August 21, 2009

Majlis Solat Hajat & Bacaan Yaasin

Sungai Besar ..20 Ogos 09. Majlis Bacaan Yaasin dan solat Hajat untuk peperiksaan UPSR dan SPRA telah diadakan dimasjid ini. Ianya dianjurkan oleh JK Sekolah Kebangsaan Seri Makmur dan mendapat kerjasama yang amat baik dari pihak masjid ini. Sebenarnya ianya bukan perkara baru acara ini diadakan. Sudah menjadi kelaziman setiap sekolah yang berhampiran mengadakan acara seumpama ini dan menjadikan masjid ini sebagai tempat melangsungkan majlis tersebut, apatah lagi masjid merupakan tempat yang paling sesuai untuk acara yang sedemikian.
Menurut salah seorang JK pelaksana majlis tersebut Us. Baharuddin Halit menyatakan perkara sedemikian akan terus berjalan seperti yang dijadualkan dari tahun yang sebelumnya, sekarang sehinggalah tahun-tahun yang berikutnya. Beliau mengharapkan pihak masjid terus menerima segala acara yang sedemikian untuk kabajikan serta maslahat anak-anak serta generasi akan datang. Biasanya sekolah menjemput imam yang didatangkan khas untuk majlis tersebut namun kali ini majlis tersebut diketua oleh imam Masjid Makmuriah iaitu Us. Hj Mohd Anuar Abd Wahid dan dibantu oleh imam-iman yang lain.
Majlis bermula selepas selesai solat maghrib dengan bacaan Yaasin dan selepas solat Isyak disudahi dengan solah Hajat dan diakhiri dengan jamuan. Moga segala usaha murni ini mendapat keberkatan dari Allah serta diperkenankan hajat semua penjaga untuk kejayaan anak-anak mereka dan dihindarkan dari segala mara bahaya seperti wabak H1N1 yang kini sedang melanda negara ini. Apa yang diharapkan masing-masing pihak sedar tanggungjawab mereka masing-masing.

Friday, July 31, 2009

Mesyuarat AJK Masjid

Sungai Besar..31 Julai 2009. Mesyuarat AJK Masjid Makmuriah kali ke 4/2009 diadakan pada malam Sabtu. Kehadiran AJK amat menggalakkan : 18/24..alhamduliLLah. Perkara yang dibincangkan merangkumi pelbagai aspek untuk kebaikan masjid serta masyarakat persekitaran. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Nazir, Us Hj Sujangi Tamyiz.

Friday, July 10, 2009

Masjid Jamek Makmuriah



Alhamdulillah Blog Masjid Jamek Makmuriah telah selamat dicreate..pada Sabtu 10 Julai 2009. Sekiranga anda melawati blog ini sila beri cadangan, komentar serta apa juga pandangan yang dapat membina blog ini agar ianya lebih bermakna untuk warga Sungai besar khasnya pelawat blog ini. Terbaik dari anda akan menambahbaik blog ini. Sekian, wassalam.

Salam Ukhuwwah

Assalamualaukum......InsyaAllah inilah laman Blog untuk Jamek Makmuriah. Mula pembikinan Sabtu, 11 Julai 2009. Mudah-mudahan ianya bermanfaat dan dimanfaat oleh kaum Muslimin dan Muslimat semua.

Template by:
Free Blog Templates