Monday, September 12, 2011

[ Semarak Roh Ramadhan DI Bulan Syawal ]

Oleh YAAKUB DASAN

MASIH belum terlambat untuk umat Islam mengambil tindakan bermuhasabah diri dan menjauhkan diri daripada tipu daya syaitan biarpun Ramadan berlalu. Syaitan sudah terlepas daripada belenggu di luar bulan Ramadan.

Setiap umat Islam hendaklah kembali berwaspada kerana segala tindak-tanduk syaitan mendorong kepada keburukan, kejahatan dan kecelakaan di atas muka bumi ini.



Sudah menjadi kerja syaitan membawa umat manusia menuju ke arah kehancuran kecuali manusia mengikut petunjuk digariskan agama Islam.

Allah SWT mengingatkan umat Islam sentiasa berhati-hati jangan sampai terkena tipu daya dan rayuan busuk syaitan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuhmu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh pula. Ia hanya mengajak kawan segolongannya supaya sama-sama menjadi isi neraka Sya’ir.” (Surah Fathir: 6)

Allah SWT juga menceritakan kepada kita tentang permusuhan yang dilakukan syaitan kepada Nabi Allah Adam a.s. Bermula dari situ muslihat syaitan berjaya mempengaruhi Nabi Adam sehingga baginda dikeluarkan Allah dari syurga.

Syaitan melakukan taktik itu menggunakan senjata pembohongan dan tipu daya. Baginda Adam a.s. dipujuk syaitan melakukan yang dilarang Allah Taala apabila memetik buah kurdi.

Situasi sama berulang hari ini sehingga sampai kepada hari kiamat.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Hai anak-anak Adam! Janganlah kamu semua dipujuk oleh syaitan, sebagaimana ia mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga. Dibukakannya pakaian kedua-duanya supaya ia dapat memperlihat kepada keduanya itu akan kemaluannya.

Sesungguhnya syaitan itu, ia dan golongannya dapat melihatmu dan kamu tidak dapat melihat mereka.

Sesungguhnya syaitan itu Kami (Allah) jadikan pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah A’raf: 27)

Syaitan berterusan bermusuh terhadap Nabi Adam dan anak cucunya daripada jalan kebenaran yang diredai Allah.

“Sesungguhnya benarlah terjadi persangkaan iblis terhadap mereka dan mereka lalu menurut kepadanya kecuali (mereka yang tidak menurut) sebahagian orangorang yang beriman.” (Surah Saba’: 20)

Di sini jelas sekali syaitan giat menanamkan lintasan-lintasan gerak dalam hati mendorong ke arah kejahatan.

Firman Tuhan dalam surah al-Baqarah ayat 268 pula bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakut) kamu semua dengan kemiskinan dan menyuruh kamu semua mengerjakan perbuatan keji.”

Maksud ayat ini bahawa syaitan sentiasa menggoda manusia dan seolah-olah mengesankan dalam kalbu bahawa membelanjakan harta untuk kebaikan dan kemuslihatan umat menyebabkan kemiskinan.

Syaitan mengajak manusia bersifat bakhil dan kikir, tetapi dalam masa yang sama terus tamak dan haloba dalam mencari harta. Inilah bisikan busuk dari syaitan laknatullah.

Oleh sebab itu, setiap orang perlulah berhati-hati selepas syaitan sudah terlepas dari belenggu Ramadan.

Biarpun Syawal menjenguk tiba dan Ramadan telah berlalu, kita jangan menjarakkan diri daripada amal ibadat seperti ketika umat Islam amalkan sedang berpuasa. Kekalkan roh Ramadan melewati bulan-bulan lain.

Template by:
Free Blog Templates