Monday, September 12, 2011

[ Semarak Roh Ramadhan DI Bulan Syawal ]

Oleh YAAKUB DASAN

MASIH belum terlambat untuk umat Islam mengambil tindakan bermuhasabah diri dan menjauhkan diri daripada tipu daya syaitan biarpun Ramadan berlalu. Syaitan sudah terlepas daripada belenggu di luar bulan Ramadan.

Setiap umat Islam hendaklah kembali berwaspada kerana segala tindak-tanduk syaitan mendorong kepada keburukan, kejahatan dan kecelakaan di atas muka bumi ini.



Sudah menjadi kerja syaitan membawa umat manusia menuju ke arah kehancuran kecuali manusia mengikut petunjuk digariskan agama Islam.

Allah SWT mengingatkan umat Islam sentiasa berhati-hati jangan sampai terkena tipu daya dan rayuan busuk syaitan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuhmu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh pula. Ia hanya mengajak kawan segolongannya supaya sama-sama menjadi isi neraka Sya’ir.” (Surah Fathir: 6)

Allah SWT juga menceritakan kepada kita tentang permusuhan yang dilakukan syaitan kepada Nabi Allah Adam a.s. Bermula dari situ muslihat syaitan berjaya mempengaruhi Nabi Adam sehingga baginda dikeluarkan Allah dari syurga.

Syaitan melakukan taktik itu menggunakan senjata pembohongan dan tipu daya. Baginda Adam a.s. dipujuk syaitan melakukan yang dilarang Allah Taala apabila memetik buah kurdi.

Situasi sama berulang hari ini sehingga sampai kepada hari kiamat.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Hai anak-anak Adam! Janganlah kamu semua dipujuk oleh syaitan, sebagaimana ia mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga. Dibukakannya pakaian kedua-duanya supaya ia dapat memperlihat kepada keduanya itu akan kemaluannya.

Sesungguhnya syaitan itu, ia dan golongannya dapat melihatmu dan kamu tidak dapat melihat mereka.

Sesungguhnya syaitan itu Kami (Allah) jadikan pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah A’raf: 27)

Syaitan berterusan bermusuh terhadap Nabi Adam dan anak cucunya daripada jalan kebenaran yang diredai Allah.

“Sesungguhnya benarlah terjadi persangkaan iblis terhadap mereka dan mereka lalu menurut kepadanya kecuali (mereka yang tidak menurut) sebahagian orangorang yang beriman.” (Surah Saba’: 20)

Di sini jelas sekali syaitan giat menanamkan lintasan-lintasan gerak dalam hati mendorong ke arah kejahatan.

Firman Tuhan dalam surah al-Baqarah ayat 268 pula bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakut) kamu semua dengan kemiskinan dan menyuruh kamu semua mengerjakan perbuatan keji.”

Maksud ayat ini bahawa syaitan sentiasa menggoda manusia dan seolah-olah mengesankan dalam kalbu bahawa membelanjakan harta untuk kebaikan dan kemuslihatan umat menyebabkan kemiskinan.

Syaitan mengajak manusia bersifat bakhil dan kikir, tetapi dalam masa yang sama terus tamak dan haloba dalam mencari harta. Inilah bisikan busuk dari syaitan laknatullah.

Oleh sebab itu, setiap orang perlulah berhati-hati selepas syaitan sudah terlepas dari belenggu Ramadan.

Biarpun Syawal menjenguk tiba dan Ramadan telah berlalu, kita jangan menjarakkan diri daripada amal ibadat seperti ketika umat Islam amalkan sedang berpuasa. Kekalkan roh Ramadan melewati bulan-bulan lain.

Monday, August 1, 2011

[ 9 singgahan Bulan menarik sepanjang Ramadhan ini ]

Ramadhan kembali lagi!

Sedar tak sedar, sudah setahun kita melangkaui kalendar hijrah, dan bulan sudahpun memasuki 12 kali pusingan mengelilingi Bumi!

Sempena menyambut kedatangan kali ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menjalankan Ibadah Ramadhan kepada semua muslimin dan muslimat. Mudah-mudahan ibadah tahun ini jauh lebih baik dari yang terdahulu dan meningkatkan keimanan kita, InsyaAllah.

Selalunya, mengikut pemerhatian saya, langit di malam Ramadhan selalunya agak cantik dan bebas dari awan atau hujan. Mudah-mudahan tahun ini ia berulang kembali, kerana amat seronok apabila sambil jalan kaki pulang dari solar Tarawih, dan ketika mendongak ke langit, kita akan mendapati begitu banyak objek-objek cakerawala turut menghiasi seluruh pelusuk langit seolah-olah meraikan kehebatan bulan Ramadhan yang amat mulia ini.

Objek yang paling menarik perhatian kita pastilah sang Bulan, yang fasa atau bentuknya, yang sentiasa berubah setiap hari, akan menjadi seperti jam randik kita meniti hari-hari penuh berkat di bulan ini.

Oleh itu, saya telah buat sedikit kiraan falak menerusi perisian sediaada, dan menyenaraikan 9 buah lokasi menarik, atau tempat persinggahan Bulan. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat pengajaran dan manfaat darinya.

1 Ogos 8 pm. Bulan berada bersebelahan dengan planet Utarid.
4 Ogos 8-9pm. Bulan membentuk segitiga bersama-sama dengan planet Zuhal dan bintang Spica
5 Ogos 8-9pm. Bulan, Spica dan Zuhal membentuk segaris
8 Ogos 9 pm. Bulan berada hampir dengan bintag Antares
20 Ogos : 5 am. Bulan berada hampir dengan Musytari
21 Ogos : 5 am. Bulan berada hampir dengan Musytari
22 Ogos: 5 am. Bulan berada hampir dengan Seven Sisters
25 Ogos: 6 am. Marikh berada di bawah Bulan.
26 Ogos: 6 am. Marikh, Bulan, Castor dan Pollux membentuk 4 segi

Sedutan dari Falak Online

Template by:
Free Blog Templates